About

Sunday, 30 September 2012

The Ultras Culture Part I – Tradisi Ulung

Bolasepak.

Tiada apa yang lebih tepat untuk menggambarkannya selain dua perkataan yang membentuk frasa ini: spectator sport (sukan tontonan).

Oleh kerana ia adalah ‘sukan tontonan’, maka sudah tentulah terasnya ialah ahli sukan dan penonton. Pemain, dan penyokong. Kedua-dua pemain dan penyokong ialah tunjang yang mendukung sukan bolasepak, yang menentukan berjaya atau tidaknya industri bolasepak. Saling memberi, dan saling menerima. Tanpa pemain, maka tiada apa yang boleh disokong. Dan tanpa penyokong, maka hilanglah nilai sesuatu permainan.

Itulah bolasepak, pada dasarnya.........

Dan dasar itulah yang menjulang bolasepak sebagai sukan paling popular di seluruh dunia. Fikirkan, ada banyak lagi sukan-sukan lain yang lebih mendatangkan kecergasan dan kesihatan fizikal, tanpa perlu menanggung risiko kecederaan seperti bolasepak. Namun jumlah penyokong yang menonton sukan-sukan ini, selama-lamanya tidak akan mampu menandingi jumlah penyokong bolasepak. Dan tanpa penyokong, apakah nilainya? Di sinilah letaknya kepentingan para penyokong. Merekalah yang memberikan nilai kepada bolasepak.

Arena bolasepak tempatan sentiasa diwarnai oleh apa yang gemar digelar oleh media massa sebagai “telatah para penyokong”. Namun perkataan “telatah” itu merupakan istilah yang kurang tepat untuk menggambarkan kisah-kisah mereka yang sebenar. Istilah lebih tepat yang seharusnya digunakan ialah “sumbangan”; malah mungkin “pengorbanan”.

Tatkala bercakap tentang penyokong, pasti ada yang membangkitkan tentang gerakan ultras. Apabila berbicara tentang gerakan ultra, pasti perkara yang timbul di fikiran ramai ialah imej skarf yang dipakai menutup muka, suar (flare) yang dinyalakan dan nyanyian chant. Apa yang ramai pihak terlepas pandang ialah kerja ultra bermula lama sebelum wisel ditiupkan dan perlawanan dimulakan. Ultras menyediakan tifo, mengecat banner, memikulnya beramai-ramai ke stadium dan kemudian menggantungnya. Apabila perlawanan tamat, mereka melipat banner dan bergotong-royong membawanya pulang. Aktiviti-aktiviti ini ialah kerja dan bukannya “telatah”.

Salah seorang individu yang seringkali dilihat membanting tulang untuk menggantung banner ialah FM, penyokong yang telah banyak menabur bakti untuk memeriahkan arena bolasepak negara. Sebagai seorang penyokong tegar pasukan bolasepak kebangsaan dan negeri kelahiran beliau, FM seringkali memikul tanggungjawab untuk menganjurkan rombongan-rombongan penyokong ke stadium-stadium lawan.


Bagi FM, menyokong pasukan kesayangan di stadium adalah lebih daripada sekadar suka-suka. Ia adalah tradisi keluarga.

Sebelum kita terlalu lekas melabel beliau sebagai seorang yang banyak berbelanja, kita perlu mengetahui hakikat betapa perbelanjaan beliau untuk ke stadium semuanya diperolehi daripada ikhtiar tanpa mengenal erti penat lelah.

“Sampai sekarang, (saya) simpan paper, kutip botol dan tin dan barang lama untuk beli tiket dan isi minyak kereta ke stadium,” jelas FM. Beliau juga menambah bahawa beliau pernah mengelak berbelanja untuk makan dan minum di stadium semata-mata untuk “lepas” belanja membeli tiket.

Ketika para pemain wajib hadir ke stadium kerana tugas, para penyokong sebaliknya memiliki pilihan untuk tidak hadir. Namun, penyokong seperti FM masih memilih untuk berbakti kepada industri bolasepak tempatan. Apa yang tidak diketahui ramai ialah pada musim ini sahaja, FM tidak pernah terlepas ke setiap perlawanan pasukan kebangsaan dan negeri yang diadakan di Malaysia dan Singapura, sama ada perlawanan home (tempat sendiri) mahupun away (tempat lawan), kecuali 3 perlawanan yang dilangsungkan 2 bulan lepas. Itupun kerana pada tempoh tersebut, beliau sedang berkhidmat dengan kontinjen negeri beliau di SUKMA. “Semua belanja dan duit tiket hasil kumpul barang dan usaha sendiri asalkan pegi ke stadium,” kata FM.

Bagi FM, menyokong pasukan kesayangan di stadium adalah lebih daripada sekadar suka-suka. Ia adalah tradisi. FM sangat bertuah kerana memiliki keluarga yang sentiasa menyokong pasukan kebangsaan dan negeri beliau sejak daripada zaman Stadium Merdeka, sehinggalah Stadium Shah Alam dibuka. “Apa carapun selagi hayat dikandung badan insyaAllah (saya) akan sentiasa berada di belakang pasukan kesayangan negeri dan Malaysia,” tekad beliau. Nada yang sangat merendah diri, bagi seseorang yang telah lama berjasa untuk memberi erti dan nilai kepada arena bolasepak tempatan. Apabila diminta untuk memberikan pesanan kepada para penyokong lain, beliau berkata.“Sentiasa bersatu dan menyokong di belakang pasukan, dan didiklah anak-anak, adik-adik, saudara-mara untuk hadir ke stadium- FM, 24 Julai 2012"



Sejumlah kecil tiket-tiket yang masih ada dalam simpanan FM
Di Malaysia, antara pemain dan penonton, wujudlah FAM. Sebagai badan yang bertanggungjawab mengurus bolasepak tempatan, sudah tentulah tugas FAM ialah untuk membawa manfaat kepada pemain dan penonton. Namun jika tugas FAM ialah untuk melahirkan pemain-pemain berkebolehan, tugas itu telah diambil alih oleh Kementerian Belia dan Sukan yang mengendalikan Harimau Muda. Jika tugas FAM ialah untuk menarik minat penonton, tugas itu sama sekali tidak dilakukan malah perkara sebaliknya yang berlaku.

FAM, khususnya Jawatankuasa Tiket dan Pintunya, sewenang-wenangnya telah melonjakkan harga tiket final Piala Malaysia 2012 kepada RM50. Dan bukan itu sahaja, mereka turut menaikkan harga tiket bagi perlawanan Liga Super kepada RM15. Mungkin sebaik sahaja melihat perlawanan-perlawanan pertunjukan Malaysia menentang kelab-kelab EPL seperti Manchester United, Arsenal dan Liverpool dibanjiri penonton, FAM serta merta merasa yakin bahawa penyokong tempatan telah bersedia untuk berbelanja besar bagi menonton bolasepak.

Dan kini setelah tamatnya Liga Super musim ini, FAM nyata telah silap. Stadium-stadium terus kosong. Bolasepak tempatan semakin nazak.

Kesilapan terbesar FAM ialah gagal untuk mengenalpasti siapakah yang menyokong industri bolasepak tempatan selama ini. Jika FAM mengambil pendekatan simplistik dan menganggap bahawa semua penyokong itu sama sahaja, maka mereka patut dijatuhkan hukuman bersalah kerana tidak melakukan kajian pasaran. Industri bolasepak, sepertimana jenis-jenis tontonan yang lain, tidak boleh lari daripada hakikat betapa ia tertakluk kepada model ekonomi supply and demand. Adakah FAM menganggap demanduntuk bolasepak tempatan begitu tinggi sehingga menghalalkan harga tiket dinaikkan?

Ya, memang ramai yang mampu mengeluarkan belanja SEKALI SETAHUN untuk tiket-tiket yang mahal bagi SATU perlawanan pertunjukan menentang kelab asing. Tetapi rata-rata golongan ini tidak akan menonton pertandingan bolasepak tempatan. Bagi golongan ini, RM15 bukanlah semahal mana, tetapi bagaimana pula RM15 untuk setiap 13 perlawanan Liga Super di stadium sendiri? Bagaimana pula RM15 untuk setiap 13 perlawanan Liga Super di stadium lawan, ditambah dengan belanja perjalanan?

Golongan yang selama ini bertanggungjawab memeriahkan arena bolasepak negara ialah golongan marhaen. Tanpa mereka, siapalah FAM. Kini, apa yang FAM berjaya lakukan hanyalah ‘membunuh’ penyokong bolasepak tempatan yang paling kuat, yang paling setia.

Pada bulan yang suci lagi mulia ini, mungkin sudah tiba masanya untuk FAM melakukan soul searching, dan memperbetul segala kesilapan yang telah dilakukan. Walau setinggi manapun kedudukan ahli-ahli jawatankuasa FAM kini, tidakkah ada di kalangan mereka yang berasal daripada golongan marhaen? Yang pernah mengumpul suratkhabar, mengutip botol dan tin: bersusah-payah semata-mata untuk menyokong bolasepak tempatan?

Masanya sudah lama tiba untuk FAM berubah. FAM tidak akan mampu kehilangan penyokong-penyokong setia bolasepak tempatan, seperti FM.


Akan bersambung di bahagian kedua..

Saturday, 15 September 2012

Rakyat dan TV

"Orang Malaysia ni tahu makan, tengok TV, makan balik, tengok TV, sambil tengok TV, makan." jelas dari sudut hati seorang pak cik teksi. Tapi apa kan daya, suara dia tak sampai kepada seluruh masyarakat. Mungkin 0.02% je rakyat Malaysia ni yang dengar apa luahan pak cik ni. Itu pun bukan semua yang akan cuba nak mengolah.

Kalau penyokong Fulham di UK, diorang akan melanggan satu channel khas dekat rumah supaya diorang dapat tengok semua perlawanan melibatkan Fulham. Begitu juga penyokong Palermo di Italy. Diorang akan langgan satu channel khas untuk Palermo supaya kalau diorang miss pergi stadium, diorang tetap akan dapat tengok game melibatkan pasukan kesayangan diorang.

Tapi dekat Malaysia lain pulak cerita dia, orang Malaysia melanggan Astro untuk tengok bola sepak Eropah sebanyak yang mungkin. Jangan kata EPL, La Liga, Serie A, Bundesliga, Liga Brazil, MSL, Ligue 1 dan banyak lagi kita boleh tengok dengan hanya melanggan astro sahaja. Sampaikan keghairahan orang Malaysia tengok bola sepak Eropah menarik perhatian mat saleh dekat UK, pelik dengan taste orang Malaysia yang sangat tinggi bila nak tengok bola. Sehinggakan penulis dan ada satu media dekat UK yang buat wawancara tentang penyokong di Asia sempat bercakap tentang penyokong bola sepak di Malaysia.

"If you're in Kuala Lumpur, there isn't really anyone subscribing to Astro or ESPN to watch Bolton. The large majority are subscribing because they want to watch Liverpool, Man United, Chelsea and Arsenal." - Ian Ayre (Liverpool's Managing Director)

"What the football fan in KL wants?" - UK Media (Responding to Ian Ayre speech)

"Little wonder then, that in a nation that priorities football and food above all else, the staple TV dish for football fans is imported from Europe." - Gary Bowerman (Journalist)

Itu baru kata-kata media, kita belum tahu apa orang-orang UK cakap pasal kita. Betapa besarnya pengaruh astro sehinggakan bermula awal tahun 2000, anak-anak muda di Kuala Lumpur bersepah yang memperagakan jersey kelab Eropah masing-masing. Peniaga yang menjual jersey pasukan luar pun lagi kaya berbanding peniaga yang jual jersey tempatan. Dan kita patut simpati dengan ibu negara kita Kuala Lumpur yang merupakan sebuah petempatan maju tapi bola sepaknya seperti hidup segan mati tak mahu.

Peminat bola sepak Eropah dekat Malaysia ni terbahagi kepada dua. Yang pertama penyokong yang tengok TV sampai lebam dan yang kedua usahawan yang turut nak join sekaki. Sebelum Tony Fernandes menaja QPR yang jugak pernah menaja pengadil EPL, Genting Sdn. Bhd. dari awal lagi dah taja Aston Villa. Maybank pulak ambil kesempatan buat Visa Card dengan kerjasama saham Manchester United. Tak ketinggalan, Potato Crisps pun menggunakan pemain-pemain Man United sebagai duta diorang sampai buat pertandingan dan pemenang berpeluang melawat Old Trafford. Itu belum lagi cerita pasal Cardiff City dengan Norwich City. Paling stylo ada pulak satu iklan yang berangan-angan main di Manchester United sedangkan akademi bola sepak kita masih tunggang terbalik.

Jadi tidak hairanlah orang-orang Malaysia ni memang banyak knowledge pasal bola. Cakap je liga apa, semua boleh jawab. Mana taknya, orang Malaysia adalah peserta kedua paling ramai dalam dunia yang main Fantasy Premier League selepas orang UK. Kita jugak berbangga sebab usahawan-usahawan kita banyak harumkan nama negara dengan menaja pasukan-pasukan besar di Eropah dan kita harus berbangga sebab kita lagi arif dan lantang bila berbicara pasal EPL. Lagi hebat dari orang putih dekat sana. Berbanggalah jugak sebab page-page facebook dekat Malaysia, wartawan surat khabar dan majalah banyak memberi info bola sepak Eropah sehinggakan mat salleh pun dah mula like page orang Malaysia untuk dapatkan info yang lebih pantas.

Tapi sampai bila? sampai bila liga Malaysia nak duduk bawah bayang-bayang liga luar? sampai bila nak tunggu usahawan melabur dekat liga Malaysia? Nak jadi jaguh Asia Tenggara sampai bila? Liga kita Gred D sebab apa?

Bangun Malaysia bangun. Bangunlah. Jangan biar minda dipengaruh. Tak salah pun sebenarnya nak tengok bola sepak luar negara. Bukankah bola sepak itu Universal? penuh dengan cinta dan memori? bola sepak satu seni yang cukup indah.Satu seni indah yang digabung dengan cinta. Seni yang memerlukan cinta. Seni yang berkait rapat dengan cinta. Malaysia sebuah negara yang sayang dan cintakan seni ini. Tapi ramai yang memilih keindahan seni semata-mata sedangkan lupa untuk cinta pada kampung sendiri. Kampung yang kadang-kadang berseri, kadang-kadang hilang seni.


SELAMAT HARI MALAYSIA DARIPADA ULTRAS MALAYA!!

-SL21-

Monday, 10 September 2012

Musibat Ultras 'Ikon Negara'??

Contohi patriotisme 'ultras Malaya'

SUNGGUH biadap, sungguh memualkan, sungguh memalukan dan sungguh tiada langsung semangat patriotik apabila melihat sekelompok anak muda yang mengibarkan bendera kononnya bendera 'Sang Saka Malaya' pada himpunan 'Janji Bersih' di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur baru-baru ini. 
Pertama, penganjur dengan tema 'janji bersih' pun sudah menipu rakyat kerana memungkiri janji apabila himpunan itu tidak bersih dengan insiden memijak dan menconteng gambar Perdana Menteri, melondeh seluar dan mengibar bendera mirip negara Singapura.
Anehnya Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji anak muda ini yang celik sejarah kerana mengibarkan kononnya bendera asal negara sebelum Jalur Gemilang. Maka mereka yang fanatik terus menelan kata-kata ini walaupun beberapa tokoh akademik sejarah menafikan perkara ini. Soalnya apa gunanya mengibarkan Sang Saka Malaya? Adakah kita berbangga sangat bendera ini yang mirip negara Singapura, di mana simbol bulan sabit tidak menggambarkan agama Islam?
Sebaliknya Jalur Gemilang yang mempunyai simbol bulan sabit memberi erti Islam adalah agama rasmi persekutuan. Kerajaan harus memikirkan kaedah terbaik untuk menanam semangat patriotik iaitu semangat cintakan negara dan tanah air. Konsep ini dituntut dalam agama Islam. Jika rakyat cintakan negara dan tanah air, mereka tidak akan membiarkan negara tercinta dirosakkan samaada daripada anasir dalaman mahupun luaran. 
Semangat ini harus ditanam di kalangan rakyat dan lebih utama pemimpin negara. Kita mahu pemimpin yang sayangkan negara dan tanah air. Oleh itu saya menyarankan anak-anak muda yang menyertai himpunan 'Janji Bersih' supaya hadir ke Stadium Shah Alam memberi sokongan apabila skuad Harimau Malaya akan bertemu Vietnam pada perlawanan persahabatan malam ini. Lihatlah bagaimana sekelompok anak-anak muda penyokong tegar Harimau Malaya yang diberi nama 'ultras Malaya' yang begitu hebat semangat patriotik mereka. Ada di kalangan mereka menitis airmata ketika menyanyi lagu Negaraku.
Mereka ini memberi sokongan kepada skuad bola sepak negara kerana semangat kesukanan dan cintakan negara. Mereka akan merasa bangga jika skuad bolasepak negara bermain untuk mengharumkan nama negara. Sebab itu mereka ini akan merasa bangga mengibarkan Jalur Gemilang tanpa henti 90 minit. Saya merasakan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dapat menjadikan 'ultras Malaya' ini sebagai ikon anak-anak muda negara supaya anak-anak muda walau apapun fahaman dan ideologi politik mempunyai semangat patriotik yang tinggi.
FAM juga digesa memberi sedikit penghargaan kepada ahli 'ultras Malaya' ini. Contohnya memberi diskaun harga tiket bagi ahli kelab 'ultras Malaya'. Manakala bagi pemain pula, balaslah sokongan peminat dengan bermain untuk negara. Jadilah pemain yang apabila menyarung jersi negara berasa bangga apabila Jalur Gemilang tertera pada dada mereka.

Pautan asal :  Utusan Malaysia - Contohi Patriotisme Ultras Malaya


Terima kasih kepada Alnorulhadi atas penghargaan sedemikian rupa. Tidak mungkin sama sekali FAM akan memberi penghargaan kepada UM apatah lagi memberi harga diskaun kepada ahli kelab Ultras Malaya yang begitu lantang mengkritik mereka setiap detik dan masa. Ingin ditekan di sini sekali lagi, Ultras Malaya bukanlah persatuan kelab mahupun pertubuhan yang berdaftar dibawah Jabatan Perndaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) yang mempunyai ahli berdaftar

Walaubagaimanapun, pergerakkan radikal ini bebas dari mana unsur-unsur politik baik haluan kiri mahupun haluan kanan. Kami tidak bersekutu dengan mana-mana parti politik di Malaysia ini. Dibawah panji Ultras Malaysia, penyatuan utuh tidak berbelah bahagi dikalangan anak-anak muda Malaysia boleh dilihat walaupun berbeza ideologi politik kerana, kami meletakkan misi KENEGARAAN keutaamaan kami sebagai tunjang pergerakkan dan matlamat kami.

Dan lagi satu, saranan murni anda untuk menjadikan UM sebagai ikon negara merupakan satu penghormatan besar buat kami, terima kasih atas penghormatan anda. Tetapi ini tidak mungkin sama sekali, masakan golongan "Musibat", "Tidak bertamadun", "Kurang ajar", "Perusuh" dan sebagainya antara gelaran yang sering kali dilabelkan oleh penyokong dan peminat-peminat bola sepak tanah air yang lain kepada UM  mahu dijadikan ikon negara? Cukuplah sekadar , menghormati pendirian dan perjuangan kami selama ini dan juga bersama-sama kami memperbesarkan lagi pergerakkan ultras di Malaysia dengan berada di curva UM sepanjang perlawanan yang melibatkan Harimau Malaya baik di Shah Alam mahupun Bukit Jalil.

Sekian..

Ultras Malaya ke Antarabangsa!!




Ultras Malaya sekali lagi di saluran Antarabangsa. Kali ini di TifoTV. TifoTV merupakan independent channel yang bergerak melalui saluran media alternatif seperti Facebook, Twitter, flicker dan sebagainya. TifoTv ini mempamerkan aksi-aksi para penyokong bola sepak terutamanya yang menjurus kepada "ultras movement" di seluruh dunia sewaktu perlawanan bola sepak samada corteo, tifo, pyro, chanting dan sebagainya 

Dalam video tersebut menampilkan aksi chanting komrad Ultras Malaya di teras kami, iaitu section 1Q Stadium Bukit Jalil melalui lagu “Bangun” yang berdurasi 37 saat sahaja.. Jumlah kekuatan komrad Ultras Malaya di seluruh negara  kini adalah kira-kira 10k, kalau dilihat melalui video tersebut mungkin separuh sahaja dari keseluruhan jumlahnya.






Untuk perlawanan mendatang, kami telah merangka pelbagai rancangan rapi sehingga Piala AFF Disember ini. Dari segi lagu baru, tifo baru semua sudah dirangka rapi, malah pengunaan bendera gergasi yang lebih besar 3 kali ganda dari sebelum ini sebanyak 3 helai  juga akan digunakan. Oleh itu, kami berharap lebih ramai komrad berikan komitmen supaya kita dapat merealisasikannya bukan untuk nama UM, tetapi untuk negara tercinta, MALAYSIA. Sebagai tuan rumah, kita perlu melakukan sesuatu yang besar, demi menaikkan semangat kepada 11 orang pejuang kita di atas padang.

UM bukanlah mengejar populariti dan publisiti baik di media arus perdana mahupun alternatif, tetapi mendapat perhatian dari beberapa saluran ultras antarabangsa  seperti TifoTV dan Ultra-Tifo.net merupakan satu penghormatan buat UM. Oleh demikian, kita perlu lagi pelbagai aksi radikal dan sekreatif mungkin pergerakkan kita demi Malaysia, barulah setanding dengan ultras seantero dunia yang lain.

Sebelum itu, jangan lupa hari ni ada perlawanan persahabatan yang begitu penting iaitu Malaysia vs Vietnam, 8.45pm Stadium Shah Alam. Ayuhhh! Laungkan semangat dan sorakanmu dengan tunaikan tanggungjawab bangsa dan negara dengan hadir ke Stadium Shah Alam demi MALAYSIAAAAA..